“[74.1] Wahai orang yang berselimut!
[74.2] Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia).
[74.3] Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya!
[74.4] Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.
[74.5] Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi.
[74.6] Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya.
[74.7] Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!
[74.8] Kerana apabila telah ditiup sangkakala,
[74.9] Maka saat yang demikian adalah saat (berlakunya) hari yang sukar –
[74.10] Kepada orang-orang kafir, lagi tidak mudah (mengelak azabnya).
[74.11] (Jangan engkau bimbang wahai Muhammad) biarkanlah Aku sahaja membalas orang (yang menentangmu) yang Aku ciptakan dia (dalam keadaan) seorang diri (tidak berharta dan anak pinak),
[74.12] Dan Aku jadikan baginya harta kekayaan yang banyak,
[74.13] Serta anak pinak (yang ramai), yang sentiasa ada di sisinya.
[74.14] Dan Aku mudahkan baginya (mendapat kekayaan dan kekuasaan) dengan semudah-mudahnya.
[74.15] Kemudian ia ingin sangat, supaya Aku tambahi lagi;
[74.16] Tidak sekali-kali (akan ditambahi) ! Kerana sesungguhnya dia menentang dengan degilnya akan ayat-ayat Kami (Al-Quran, yang disampaikan oleh Rasul Kami).
[74.17] Aku akan menyeksanya (dengan azab) yang memuncak beratnya.
[74.18] Kerana sesungguhnya ia telah memikirkan dan mereka-reka berbagai tuduhan terhadap Al-Quran) –
[74.19] Maka binasalah dia hendaknya! Bagaimanakah dia berani mereka-reka (yang demikian)?
[74.20] Sekali lagi: binasalah dia hendaknya! Bagaimana ia berani mereka-reka (tuduhan-tuduhan itu)?
[74.21] Kemudian ia merenung dan memikirkan (berkali-kali: jalan-jalan mencaci Al-Quran, tetapi ia gagal);
[74.22] Setelah itu ia memasamkan mukanya serta ia bertambah masam berkerut;
[74.23] Kemudian ia berpaling (dari kebenaran) dan berlaku sombong angkuh,
[74.24] Serta ia berkata: “” (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah sihir yang dituntut serta dipelajari (dari ahli-ahlinya);
[74.25] “”Ini tidak lain hanyalah kata-kata (rekaan) manusia!”"
[74.26] (Disebabkan kekufurannya itu) Aku akan masukkan dia ke dalam neraka Saqar.
[74.27] Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan neraka Saqar itu?
[74.28] Ia membakar mangsanya dengan tidak meninggalkan sisa, dan tidak membiarkannya (binasa terus)
[74.29] Ia terus-menerus membakar kulit manusia!
[74.30] Pengawal dan penjaganya adalah sembilan belas (malaikat).
[74.31] Dan (ketahuilah bahawa hikmat) Kami tidak menjadikan pengawal-pengawal neraka itu melainkan (dari kalangan) malaikat, (kerana merekalah sekuat-kuat dan sebenar-benar makhluk yang menjalankan perintah Kami); dan (hikmat) Kami tidak menerangkan bilangan mereka melainkan dengan satu bilangan yang menyebabkan kesesatan dan kesengsaraan orang-orang kafir itu, supaya orang-orang yang diberi Kitab (Yahudi dan Nasrani) boleh percaya dengan yakin (akan kebenaran Al-Quran), dan supaya orang-orang yang beriman bertambah imannya; dan juga supaya orang-orang yang diberi Kitab dan orang-orang yang beriman itu tidak ragu-ragu (tentang kebenaran keterangan itu); dan (sebaliknya) supaya orang-orang (munafik) yang ada penyakit (ragu-ragu) dalam hatinya dan orang-orang kafir berkata: “”Apakah yang di maksudkan oleh Allah dengan menyebutkan bilangan ganjil ini?”" Demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan tiada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dia lah sahaja. Dan (ingatlah, segala yang diterangkan berkenaan dengan) neraka itu tidak lain hanyalah menjadi peringatan bagi manusia.
[74.32] Sebenarnya! Demi bulan,
[74.33] Dan malam apabila ia balik melenyapkan diri,
[74.34] Dan waktu subuh apabila ia terang-benderang,
[74.35] Sesungguhnya neraka Saqar itu adalah salah satu (malapetaka) yang amat besar,
[74.36] Yang menjadi amaran bagi umat manusia,
[74.37] (Iaitu) bagi sesiapa di antara kamu yang mahu maju (dalam mengerjakan kebaikan) atau yang mahu mundur (daripada mengerjakannya).
[74.38] Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya,
[74.39] Kecuali puak Kanan,
[74.40] (Mereka ditempatkan) di dalam Syurga (yang penuh nikmat), mereka bertanya-tanya,
[74.41] Tentang (tempat tinggal) orang-orang yang bersalah,
[74.42] (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “”Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?”"
[74.43] Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “”Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang;
[74.44] “”Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin;
[74.45] “”Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya;
[74.46] “”Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan,
[74.47] “”Sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini”".
[74.48] Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu.
[74.49] (Kalau demikianlah halnya orang-orang yang bersalah), maka mengapa mereka berpaling lari dari peringatan (Al-Quran) ?
[74.50] Seolah-olah mereka sekawan keldai liar yang lari,
[74.51] Melarikan diri (ketakutan) dari singa!
[74.52] (Mereka tidak merasa cukup dengan peringatan itu) bahkan tiap-tiap seorang di antaranya mahu supaya diberi kepadanya lembaran surat yang terbuka (yang diturunkan dari langit untuk dibaca oleh mereka sendiri).
[74.53] Sebenarnya! (Bukan kerana kemahuan mereka tidak berhasil), bahkan mereka (tidak percaya dan) tidak takut akan hari akhirat.
[74.54] Ketahuilah! Sesungguhnya Al-Quran itu adalah satu peringatan (yang sangat besar pengajarannya);
[74.55] Oleh itu sesiapa yang mahu (beringat) dapatlah ia mengambil peringatan daripadanya.
[74.56] Dan (dalam pada itu) tiadalah mereka dapat beringat melainkan jika dikehendaki Allah; Dia lah Tuhan yang berhak dipatuhi perintahNya, dan Dia lah jua yang berhak memberi keampunan (kepada orang-orang yang beriman dan taat).”