“[75.1] Aku bersumpah dengan Hari Kiamat;
[75.2] Dan Aku bersumpah dengan “”Nafsul Lawwaamah”" (Bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati)!
[75.3] Patutkah manusia (yang kafir) menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya (dan menghidupkannya semula)?
[75.4] Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan Kami berkuasa menyusun (dengan sempurnanya segala tulang) jarinya, (tulang yang lebih halus dari yang lain).
[75.5] (Kebenaran itu bukan tidak ada buktinya), bahkan manusia (yang ingkar) sentiasa suka hendak meneruskan perbuatan kufur dan maksiat (di sepanjang hayatnya, sehingga ia tidak mengakui adanya hari kiamat).
[75.6] Dia bertanya (secara mengejek): “”Bilakah datangnya hari kiamat itu?”"
[75.7] Maka (jawabnya: hari kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi terpendar-pendar (kerana gerun takut),
[75.8] Dan bulan hilang cahayanya,
[75.9] Dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama,
[75.10] (Maka) pada hari itu, berkatalah manusia (yang ingkarkan hari kiamat): “”Ke manakah hendak melarikan diri?”"
[75.11] Tak usahlah bertanya demikian! Tidak ada lagi tempat perlindungan!
[75.12] Pada hari itu, kepada Tuhanmu lah sahaja terserahnya ketetapan segala perkara.
[75.13] Pada hari itu, manusia diberitahu akan apa yang ia telah lakukan, dan apa yang ia telah tinggalkan.
[75.14] Bahkan manusia itu, (anggotanya) menjadi saksi terhadap dirinya sendiri,
[75.15] Walaupun ia memberikan alasan-alasannya (untuk membela diri).
[75.16] Janganlah engkau (wahai Muhammad) – Kerana hendakkan cepat menghafaz Quran yang diturunkan kepadamu – menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai dibacakan kepadamu).
[75.17] Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu);
[75.18] Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu;
[75.19] Kemudian, sesungguhnya kepada Kamilah terserah urusan menjelaskan kandungannya (yang memerlukan penjelasan).
[75.20] Sedarlah wahai orang-orang yang lalai. (Sebenarnya kamu tidak ingatkan kesudahan kamu) bahkan kamu sentiasa mencintai (Kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya.
[75.21] Dan kamu tidak menghiraukan (bekalan untuk) hari akhirat (yang kekal abadi kehidupannya).
[75.22] Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri;
[75.23] Melihat kepada Tuhannya.
[75.24] Dan pada hari itu, muka (orang-orang kafir) muram hodoh,
[75.25] Sambil percaya dengan yakin bahawa mereka akan ditimpa malapetaka (azab seksa) yang membinasakan.
[75.26] Sedarlah (janganlah mengutamakan dunia dan melupakan akhirat. Ingatlah akan hal orang yang hendak mati) apabila rohnya sampai ke pangkal kerongkong,
[75.27] Dan (orang-orang yang hadir di sisinya heboh) berkata: “”Siapakah yang dapat menawar jampi (dan mengubatnya)?”"
[75.28] Dan ia sendiri yakin, bahawa sesungguhnya saat itu saat perpisahan;
[75.29] Serta kedahsyatan bertindih-tindih;
[75.30] (Maka) kepada Tuhanmu lah – pada waktu itu – engkau dibawa (untuk menerima balasan).
[75.31] (Oleh sebab orang yang kufur ingkar tidak percayakan hari akhirat) maka ia tidak mengakui kebenaran (yang diwajibkan meyakininya) dan ia tidak mengerjakan sembahyang (yang difardhukan mengerjakannya)!
[75.32] Akan tetapi ia mendustakan, dan berpaling ingkar!
[75.33] Kemudian ia pergi kepada keluarganya dengan berlagak sombong megah.
[75.34] (Wahai orang yang kufur ingkar!) sudahlah dekat kepadamu kebinasaanmu, sudahlah dekat!
[75.35] Kemudian api nerakalah lebih layak bagimu, lebih layak.
[75.36] Patutkah manusia menyangka, bahawa ia akan ditinggalkan terbiar (dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan)?
[75.37] Bukankah ia berasal dari air mani yang dipancarkan (ke dalam rahim)?
[75.38] Kemudian air mani itu menjadi sebuku darah beku, sesudah itu Tuhan menciptakannya, dan menyempurnakan kejadiannya (sebagai manusia)?
[75.39] Lalu Tuhan menjadikan daripadanya dua jenis – lelaki dan perempuan.
[75.40] Adakah (Tuhan yang menjadikan semuanya) itu – tidak berkuasa menghidupkan orang-orang yang mati? (Tentulah berkuasa)!”