“[79.1] Demi (makhluk-makhluk) yang mencabut (apa yang ditugaskan mencabutnya) dengan cara yang sekasar-kasarnya;
[79.2] Dan yang menarik (apa yang ditugaskan menariknya) dengan cara yang selembut-lembutnya;
[79.3] Dan demi (makhluk-makhluk) yang cergas bergerak (menerima perintah) dengan gerak yang secergas-cergasnya;
[79.4] Lalu masing-masing berlumba-lumba dahulu-mendahului (menjalankan tugasnya) dengan cara yang sesungguh-sungguhnya;
[79.5] Serta menyempurnakan tadbir urusan alam yang diperintahkan kepadanya; (sumpah demi sumpah, sesungguhnya kamu akan dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat)! –
[79.6] Pada masa berlakunya “”tiupan sangkakala yang pertama”" yang menggoncangkan alam, (sehingga mati segala yang bernyawa dan punah-ranah sekalian makhluk selain dari yang dikecualikan),
[79.7] Tiupan yang pertama itu diikuti oleh tiupan yang kedua, (yang menyebabkan orang-orang yang mati semuanya hidup semula serta keluar dari kubur masing-masing);
[79.8] Hati (manusia) pada hari itu berdebar-debar takut,
[79.9] Pemandangannya tunduk gerun.
[79.10] Mereka (yang ingkar) berkata: “”Sungguhkah kita akan dikembalikan hidup seperti keadaan di dunia dahulu?
[79.11] “”Bolehkah (dihidupkan semula) sesudah kita menjadi tulang yang reput?”"
[79.12] Mereka berkata lagi (secara mengejek: “”Kalaulah berlaku) yang demikian, sudah tentu kembalinya kita (hidup semula) itu satu perkara yang merugikan!”"
[79.13] (Menghidupkan semula tidaklah sukar), kerana berlakunya perkara itu hanyalah dengan satu jeritan (yang terbit dari tiupan sangkakala yang kedua), –
[79.14] Yang menyebabkan mereka dengan serta-merta berada di muka bumi yang putih rata.
[79.15] Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal Nabi Musa?
[79.16] Ketika ia diseru oleh Tuhannya di “”Wadi Tuwa”" yang suci; –
[79.17] (Lalu diperintahkan kepadanya): “”Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas (dalam kekufuran dan kezalimannya);
[79.18] “”Serta katakanlah kepadanya: `Adakah engkau suka hendak mensucikan dirimu (dari kekufuran)?
[79.19] `Dan mahukah, aku tunjuk kepadamu jalan mengenal Tuhanmu, supaya engkau merasa takut (melanggar perintahNya)? ‘ “”
[79.20] (Setelah Nabi Musa menyempurnakan perintah Tuhannya, dan Firaun pun meminta bukti kebenarannya); maka Nabi Musa memperlihatkan kepada Firaun: mukjizat yang besar.
[79.21] Lalu Firaun mendustakan (Nabi Musa) dan menderhaka (kepada Allah);
[79.22] Kemudian ia berpaling ingkar sambil menjalankan usahanya (menentang Nabi Musa).
[79.23] Lalu ia menghimpunkan orang-orangnya dan menyeru, –
[79.24] Dengan berkata: “”Akulah tuhan kamu, yang tertinggi”".
[79.25] Maka Allah menyeksa Firaun di akhirat dan di dunia ini, dengan azab yang menakutkan sesiapa yang mengetahuinya.
[79.26] Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang takut (melanggar perintah Tuhannya).
[79.27] (Wahai golongan yang ingkarkan kebangkitan hidup semula!) Kamukah yang sukar diciptakan atau langit? Tuhan telah membinanya (dengan Kukuh)!
[79.28] Ia telah meninggikan bangunan langit itu lalu menyempurnaKannya,
[79.29] Dan Ia menjadikan malamnya gelap-gelita, serta menjadikan siangnya terang-benderang.
[79.30] Dan bumi sesudah itu dihamparkannya (untuk kemudahan penduduknya), –
[79.31] Ia mengeluarkan dari bumi itu: airnya dan tumbuh-tumbuhannya;
[79.32] Dan gunung-ganang pula dikukuhkan letaknya (di bumi, sebagai pancang pasak yang menetapnya);
[79.33] (Semuanya itu) untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu.
[79.34] Maka apabila datang hari yang bencananya amat besar, –
[79.35] Iaitu hari manusia akan mengingati apa yang telah diusahakannya, –
[79.36] Dan neraka diperlihatkan kepada sesiapa sahaja yang dapat melihatnya, –
[79.37] Maka (dapatlah masing-masing mengetahui kesudahannya); adapun orang yang melampau (perbuatan derhakanya), –
[79.38] Serta ia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata, –
[79.39] Maka sesungguhnya neraka Jahanamlah tempat kediamannya.
[79.40] Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, –
[79.41] Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya.
[79.42] Mereka (yang ingkar) selalu bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: “”Bilakah masa datangnya?”"
[79.43] Apa hubungannya tugasmu dengan (soal) menerangkan masa kedatangan hari kiamat itu?
[79.44] Kepada Tuhanmu lah terserah kesudahan ilmu mengenainya.
[79.45] Tugasmu hanyalah memberi amaran kepada orang yang takut akan huru-hara hari kiamat itu.
[79.46] (Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya: seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja.”