“[26.1] Taa, Siin, Miim.
[26.2] Ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata.
[26.3] Jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu dengan menanggung dukacita, kerana mereka tidak menjadi orang-orang yang beriman.
[26.4] Kalau Kami mahu, tentulah Kami akan turunkan kepada mereka satu mukjizat dari langit, yang menjadikan mereka tunduk kepadanya.
[26.5] Dan tidak datang kepada mereka peringatan serta pengajaran yang baharu dari (Allah) Ar-Rahman, melainkan mereka tetap berpaling mengingkarinya.
[26.6] Oleh kerana mereka telah mendustakan Al-Quran, maka sudah tentu akan datang kepada mereka berita-berita (azab) mengenai perkara yang mereka ejek-ejek itu.
[26.7] Masihkah mereka berdegil dan tidak memperhatikan bumi, berapa banyak kami tumbuhkan padanya dari berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat?
[26.8] Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan dan rahmat pengurniaan Allah); dan (dalam pada itu), kebanyakan mereka tidak juga beriman.
[26.9] Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) Dia lah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.
[26.10] Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu menyeru Nabi Musa: “”Hendaklah engkau mendatangi kaum yang zalim, –
[26.11] “”Iaitu kaum Firaun; tidakkah mereka mahu mengawal diri dari kemurkaanKu?”"
[26.12] Nabi Musa merayu dengan berkata: “”Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku takut bahawa mereka akan mendustakan daku.
[26.13] “”Dan akan sempit pula dadaku serta tidak lancar lidahku; oleh itu utuskanlah perintahMu kepada Harun (supaya ia membantuku).
[26.14] “”Dan lagi mereka ada mengemukakan satu tuduhan jenayah terhadapku; oleh itu aku takut mereka akan membunuhku”".
[26.15] Allah berfirman: “”Jangan! Jangan fikir (akan berlaku apa yang engkau bimbangkan itu)! Oleh itu pergilah kamu berdua membawa mukjizat-mukjizat Kami (yang membuktikan kebenaran kamu); sesungguhnya Kami ada bersama-sama kamu: mendengar.
[26.16] “”Maka pergilah kamu kepada Firaun, kemudian katakanlah kepadanya: sesungguhnya kami adalah utusan Tuhan sekalian alam.
[26.17] “”Menyuruhmu membebaskan kaum Bani Israil mengikut kami”".
[26.18] Firaun menjawab: “”Bukankah kami telah memeliharamu dalam kalangan kami semasa engkau kanak-kanak yang baharu lahir, serta engkau telah tinggal dalam kalangan kami beberapa tahun dari umurmu?
[26.19] “”Dan (bukankah) engkau telah melakukan satu perbuatan (jenayah) yang telah engkau lakukan dan (dengan itu) engkau dari orang-orang yang tidak mengenang budi?”"
[26.20] Nabi Musa berkata: “”Aku melakukan perbuatan yang demikian sedang aku ketika itu dari orang-orang yang belum mendapat petunjuk.
[26.21] “”Lalu aku melarikan diri dari kamu, ketika aku merasa takut kepada kamu; kemudian Tuhanku mengurniakan daku ilmu pengetahuan ugama, dan menjadikan daku seorang RasulNya.
[26.22] “”Dan budimu memeliharaku yang engkau bangkit-bangkitkan itu adalah kerana engkau telah bertindak memperhambakan kaum Bani Israil.
[26.23] Firaun berkata (dengan sombongnya): “”Dan apa dia Tuhan sekalian alam itu?”"
[26.24] Nabi Musa menjawab. “”Dia lah yang memiliki dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, – kalaulah kamu mahu mendapat keyakinan dengan berdalil maka inilah jalannya”".
[26.25] Firaun berkata kepada orang-orang yang ada di sekelilingnya: “”Tidakkah kamu dengar (apa yang dikatakan olehnya)?”"
[26.26] Nabi Musa menegaskan lagi: “”Dia lah Tuhan yang memiliki dan memelihara kamu dan Tuhan datuk nenek kamu yang telah lalu.”"
[26.27] Firaun berkata (kepada orang-orangnya): “”Sebenarnya Rasul yang diutuskan kepada kamu ini, sungguh gila?”"
[26.28] Nabi Musa (menerangkan lagi tentang keesaan Allah dan kekuasaanNya dengan) berkata: “”Dia lah yang memiliki dan menguasai timur dan barat serta segala yang ada di antara keduanya; kalau kamu orang-orang yang berakal tentulah memahamiNya!”"
[26.29] Firaun berkata: “”Demi sesungguhnya! Jika engkau menyembah Tuhan yang lain daripadaku, sudah tentu aku akan menjadikan engkau dari orang-orang yang dipenjarakan”".
[26.30] Nabi Musa menjawab: “”Adakah (engkau akan memenjarakan daku juga) walau pun aku membawa kepadamu sesuatu bukti yang jelas nyata?”"
[26.31] Firaun berkata: “”Kalau demikian, bawalah bukti itu jika betul engkau dari orang-orang yang benar”".
[26.32] Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang jelas nyata.
[26.33] Dan ia mengeluarkan tangannya, maka tiba-tiba tangannya menjadi putih (bersinar-sinar) bagi orang-orang yang melihatnya.
[26.34] Firaun berkata kepada ketua-ketua kaum yang ada dikelilingnya: “”Sesungguhnya orang ini (Musa) ialah seorang ahli sihir yang mahir.
[26.35] “”Ia bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu dengan sihirnya, maka apa yang kamu syorkan?”"
[26.36] Mereka berkata: “”Tangguhkanlah dahulu (sebarang tindakan) terhadapnya dan terhadap saudaranya, serta hantarkanlah ke bandar-bandar (negeri Mesir) orang-orang yang mengumpulkan (ahli-ahli sihir),
[26.37] “”Supaya mereka membawa kepadamu segala ahli sihir yang mahir”".
[26.38] Lalu dikumpulkanlah ahli-ahli sihir itu pada satu masa yang ditentukan, pada hari (perayaan) yang termaklum.
[26.39] Dan dikatakan kepada orang ramai: “”Berkumpulah kamu semuanya;.
[26.40] “”Semoga kita (tetap) mengikut (ugama) ahli-ahli sihir itu kiranya merekalah orang-orang yang menang”".
[26.41] Maka ketika ahli-ahli sihir itu datang, berkatalah mereka kepada Firaun: “”Benarkah kami akan beroleh upah, kiranya kamilah orang-orang yang menang?”"
[26.42] Firaun menjawab: “”Benar, (kamu akan mendapatnya) dan sesungguhnya kamu dengan itu akan menjadi dari orang-orang yang dekat kepadaku”".
[26.43] Nabi Musa berkata kepada mereka: “”Campakkanlah dahulu apa yang kamu hendak campakkan”".
[26.44] Lalu mereka mencampakkan tali-tali dan tongkat-tongkat mereka sambil berkata: “”Demi kekuasaan Firaun, sesungguhnya sudah tetap kamilah orang-orang yang akan menang”".
[26.45] Kemudian Nabi Musa pula mencampakkan tongkatnya, tiba-tiba tongkatnya itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan (dengan sihir mereka).
[26.46] Maka (kemenangan Nabi Musa menjadikan) ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri: sujud,
[26.47] Sambil berkata: “”Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam,
[26.48] “”Tuhan Nabi Musa dan Nabi Harun”".
[26.49] Firaun berkata: “”Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku izinkan kamu? Sesungguhnya dia lah (Musa) ketua kamu yang mengajar kamu ilmu sihir; oleh itu kamu akan mengetahui kelak (akibatnya). Demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang kemudian aku akan memalang kamu semuanya”".
[26.50] Mereka menjawab: “”(Ugutanmu itu) tidaklah menjadi hal! Sesungguhnya kami (tidak gentar), kerana kepada Tuhan kamilah kembalinya kami.
[26.51] “”Sesungguhnya kami amat berharap supaya Tuhan Kami mengampunkan dosa-dosa kami, kerana kamilah orang-orang yang mula-mula beriman (dalam peristiwa ini)”".
[26.52] (Allah berfirman): Dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa: “”Hendaklah engkau membawa hamba-hambaKu (kaummu) keluar pada waktu malam; sesungguhnya kamu akan dikejar (oleh Firaun dan tenteranya)”".
[26.53] (Setelah mengetahui keadaan itu) maka Firaun mengutus (orang-orangnya) ke bandar-bandar (negeri Mesir), untuk mengumpulkan (tenteranya),
[26.54] (Sambil berkata kepada mereka): “”Sesungguhnya orang-orang (Musa) itu adalah segolongan kecil,
[26.55] “”Dan sesungguhnya mereka melakukan perkara yang menyebabkan kita marah;.
[26.56] “”Dan sesungguhnya kita sekalian, sentiasa beringat dan berjaga-jaga”".
[26.57] Dengan sebab itu maka kami jadikan mereka (Firaun dan tenteranya) keluar meninggalkan kebun-kebun dan matair,
[26.58] Dan juga khazanah-khazanah kekayaan serta tempat tinggal yang mulia.
[26.59] Demikianlah keadaannya; dan Kami jadikan semua peninggalan Firaun dan tenteranya milik Bani Israil sebagai pusaka.
[26.60] Maka Firaun dan tenteranya pun mengejar mereka ketika matahari terbit.
[26.61] Setelah kedua-dua kumpulan itu nampak satu sama lain, berkatalah orang-orang Nabi Musa: “”Sesungguhnya kita akan dapat ditawan”".
[26.62] Nabi Musa menjawab: “”Tidak! Jangan fikir (akan berlaku yang demikian)! Sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh Tuhanku (dengan pemuliharaan dan pertolonganNya), Ia akan menunjuk jalan kepadaku”".
[26.63] Lalu Kami wahyukan kepada Nabi Musa: “”Pukulah laut itu dengan tongkatmu”". (Setelah dipukul) maka terbelahlah laut itu (kepada beberapa bahagian), lalu menjadilah air tiap-tiap bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang besar.
[26.64] Dan Kami dekatkan golongan yang lain itu ke situ.
[26.65] Dan Kami selamatkan Nabi Musa serta orang-orang yang bersama dengannya, semuanya.
[26.66] Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain (yang mengejarnya).
[26.67] Sesungguhnya pada peristiwa yang demikian, terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah); dan (dalam pada itu), kebanyakkan mereka tidak juga mahu beriman.
[26.68] Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dia lah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.
[26.69] Dan bacakanlah pula kepada mereka perihal Nabi Ibrahim.
[26.70] Ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya: “”Apa yang kamu sembah?”"
[26.71] Mereka menjawab: “”Kami menyembah berhala-berhala, maka (kerana memuliakannya) kami berkekalan menyembahnya”".
[26.72] Nabi Ibrahim bertanya: “”Adakah berhala-berhala itu mendengar kamu semasa kamu menyerunya?
[26.73] “”Atau mereka dapat memberikan sesuatu yang ada manfaatnya kepada kamu ataupun menimpakan sesuatu bahaya?”"
[26.74] Mereka menjawab: “”(Tidak satupun!) Bahkan kami dapati datuk nenek kami berbuat demikian”".
[26.75] Nabi Ibrahim berkata: “”Sudahkah kamu berfikir sehingga nampak gunanya benda-benda yang kamu sembah itu? –
[26.76] “”(Yang sekian lama disembah oleh) kamu dan datuk nenek kamu yang dahulu?
[26.77] “”(Aku bertanya demikian) kerana sesungguhnya berhala-berhala itu ialah musuhKu, (aku tidak menyembah) melainkan Allah Tuhan sekalian alam;
[26.78] “”Tuhan yang menciptakan daku (dari tiada kepada ada), maka Dia lah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku;
[26.79] “”Dan Tuhan yang Dia lah jua memberiku makan dan memberi minum,
[26.80] “”Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku;
[26.81] “”Dan (Dia lah) yang mematikan daku, kemudian Ia menghidupkan daku;
[26.82] “”Dan (Dia lah) yang aku harap-harapkan supaya mengampunkan dosaku pada hari kiamat;
[26.83] “”Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh;
[26.84] “”Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian;
[26.85] “”Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim;
[26.86] “”Dan ampunkanlah bagi bapaku, kerana sesungguhnya ia adalah dari orang-orang yang sesat;
[26.87] “”Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula –
[26.88] “”Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun,
[26.89] “”Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik);
[26.90] “”Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa,
[26.91] “”Dan diperlihatkan neraka jelas nyata kepada orang-orang yang sesat;
[26.92] “”Serta dikatakan kepada mereka: ` Mana dia benda-benda yang kamu sembah dahulu –
[26.93] ` Selain dari Allah? Dapatkah mereka menolong kamu atau menolong dirinya sendiri ? ‘
[26.94] “”Lalu mereka dihumbankan ke dalam neraka dengan tertiarap, jatuh bangun berulang-ulang, – mereka dan orang-orang yang sesat bersama,
[26.95] “”Termasuk juga bala tentera iblis semuanya.
[26.96] “”Mereka berkata, sambil bertengkar sesama sendiri dalam neraka:
[26.97] “” ` Demi Allah! Sesungguhnya kami (semasa di dunia dahulu) adalah di dalam kesesatan yang jelas nyata,
[26.98] “” ` Kerana kami menyamakan kamu dengan Tuhan sekalian alam;
[26.99] “” ` Dan tiadalah yang menyesatkan kami melainkan golongan yang berdosa.
[26.100] “” ` Dengan sebab itu, tiadalah kami beroleh sesiapapun yang memberi pertolongan,
[26.101] “” ` Dan tiadalah juga sahabat karib yang bertimbang rasa.
[26.102] “” ` Maka alangkah baiknya kalau kami dapat ke dunia sekali lagi, supaya kami menjadi dari orang-orang yang beriman. ‘ “”
[26.103] Sesungguhnya pada peristiwa yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membukitkan keesaan Allah dan kekuasaanNya); dan dalam pada itu, kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman.
[26.104] Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dia lah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha mengasihani.
[26.105] (Demikian juga) kaum Nabi Nuh telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepada mereka.)
[26.106] Ketika saudara mereka – Nabi Nuh, berkata kepada mereka: “” Hendaknya kamu mematuhi suruhan Allah dan menjauhi laranganNya.
[26.107] “”Sesungguhnya aku ini ialah Rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu.
[26.108] “” Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku.
[26.109] “”Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku); balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam.
[26.110] “”Maka dengan yang demikian, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku”".
[26.111] Mereka menjawab: “”Patutkah kami percaya kepadamu, sedang engkau semata-mata diikut oleh orang-orang yang rendah (pangkatnya dan hina pekerjaannya)?”"
[26.112] Nabi Nuh berkata: “”Dan apalah ada kaitannya pengetahuanku dengan (pangkat dan) pekerjaan mereka?
[26.113] “”Sebenarnya hitungan amal mereka hanya terserah kepada Tuhanku; kalaulah kamu menyedari dan memahaminya (kamu tidak berkata demikian).
[26.114] “”Dan aku tidak akan menghalau orang-orang yang beriman (daripada bercampur-gaul denganku).
[26.115] “”Aku ini hanyalah seorang Rasul pemberi amaran yang jelas nyata (kepada semua – tidak kira hina mulia)”".
[26.116] Mereka (mengugut dengan) berkata: “”Jika engkau tidak mahu berhenti (daripada menyiarkan ugamamu itu) wahai Nuh, sudah tentu engkau akan menjadi dari orang-orang yang direjam!”"
[26.117] Nabi Nuh berdoa dengan berkata: “”Wahai Tuhanku! Sesungguhnya kaumku telah mendustakan daku.
[26.118] “”Oleh itu, hukumkanlah antaraku dengan mereka, dengan hukuman tegas (yang menegakkan yang benar dan melenyapkan yang salah), serta selamatkanlah daku dan orang-orang yang beriman yang bersama-sama denganku”"
[26.119] Maka Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersama-sama dengannya dalam bahtera yang penuh sarat (dengan berbagai makhluk).
[26.120] Kemudian daripada itu, Kami tenggelamkan golongan (kafir) yang tinggal (tidak turut bersama dalam bahtera).
[26.121] Sesungguhnya pada peristiwa yang demikian, terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah); dan dalam pada itu, kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman.
[26.122] Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dia lah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.
[26.123] (Demikian juga) kaum Aad telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepada mereka).
[26.124] Ketika saudara mereka – Nabi Hud, berkata kepada mereka: “”Hendaknya kamu mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya.
[26.125] “”Sesungguhnya aku ini seorang Rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu.
[26.126] “”Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku.
[26.127] “”Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku); balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam.
[26.128] “”Patutkah kamu mendirikan pada tiap-tiap tempat yang tinggi bangunan-bangunan yang tersergam, padahal kamu tidak membuatnya dengan sesuatu tujuan yang baik.
[26.129] “”Dan kamu pula bersusah payah mendirikan istana-istana dan benteng-benteng yang kukuh dengan harapan hendak kekal hidup selama-lamanya?
[26.130] “”Dan apabila kamu memukul atau menyeksa, kamu melakukan yang demikian dengan kejam bengis?
[26.131] “”Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah dan taatlah kepadaku.
[26.132] “”Dan berbaktilah kamu kepada Allah yang telah menolong kamu dengan pemberian nikmat-nikmatNya yang kamu sedia mengetahuinya.
[26.133] “”Diberinya kamu binatang-binatang ternak (yang biak) serta anak-pinak (yang ramai),
[26.134] “”Dan taman-taman (yang indah permai) serta matair-matair (yang mengalir).
[26.135] “”Sesungguhnya aku takut, (bahawa) kamu akan ditimpa azab seksa hari yang besar (huru-haranya)”".
[26.136] Mereka menjawab: “”Sama sahaja bagi kami, sama ada engkau beri nasihat pengajaran, atau engkau tidak menjadi dari orang-orang yang memberi nasihat pengajaran.
[26.137] “”Segala apa (yang engkau katakan) ini, hanyalah adat kebiasaan orang-orang dahulu-kala,
[26.138] “”Dan kami pula tidak akan diseksa”".
[26.139] Akhirnya mereka mendustakan Rasul itu, lalu Kami binasakan mereka. Sesungguhnya pada peristiwa yang demikian, terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah); dan dalam pada itu, kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman.
[26.140] Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dia lah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.
[26.141] (Demikian juga) kaum Thamud telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepada mereka),
[26.142] Ketika saudara mereka – Nabi Soleh, berkata kepada mereka: “”Hendaknya kamu mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya.
[26.143] “”Sesungguhnya aku ini Rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu.
[26.144] “”Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku.
[26.145] “”Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku), balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam.
[26.146] “”Adakah (kamu fikir), bahawa kamu akan dibiarkan sentiasa bersenang-senang dalam nikmat-nikmat yang ada di dunia ini? –
[26.147] “”Di dalam taman-taman (yang indah permai), dan matair-matair (yang mengalir),
[26.148] “”Dan kebun-kebun tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) yang buah mayangnya halus lembut?
[26.149] “”Dan kamu memahat sebahagian dari gunung-ganang sebagai tempat tinggal – dengan bijak dan bersungguh-sungguh?
[26.150] “”Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku;
[26.151] “”Dan janganlah kamu taati perintah orang-orang yang melampaui batas, –
[26.152] “”Iaitu orang-orang yang melakukan kerosakan di bumi dan tidak membuat kebaikan”".
[26.153] Mereka menjawab: “”Sesungguhnya engkau ini hanyalah salah seorang dari golongan yang kena sihir!
[26.154] “”Engkau hanyalah seorang manusia seperti kami; oleh itu, bawakanlah satu tanda (mukjizat) jika betul engkau dari orang-orang yang benar”".
[26.155] Nabi Soleh berkata: “”Ini adalah seekor unta betina, (di antara cara-cara hidupnya ialah) air kamu hendaklah menjadi bahagian minumnya sehari, dan bahagian kamu sehari, menurut giliran yang tertentu.
[26.156] “”Dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya; (jika kamu menyakitinya) maka akibatnya kamu akan dibinasakan oleh azab seksa hari yang besar (huru-haranya)”".
[26.157] Akhirnya mereka menikam mati unta itu, kemudian mereka menyesal (setelah melihat kedatangan bala bencana).
[26.158] Lalu mereka ditimpa azab yang membinasakan. Sesungguhnya peristiwa yang demikian mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah); dan dalam pada itu, kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman.
[26.159] Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dia lah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.
[26.160] (Demikian juga) kaum Nabi Lut telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepada mereka).
[26.161] Ketika saudara mereka – Nabi Lut, berkata kepada mereka: “”Hendaknya kamu mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya.
[26.162] “”Sesungguhnya aku ini Rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu.
[26.163] “”Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku.
[26.164] “”Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku); balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam.
[26.165] “”Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia,
[26.166] “”Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyaKan haiwan)!”"
[26.167] Mereka menjawab: “”Sesungguhnya jika engkau tidak berhenti wahai Lut (daripada mencaci dan menyalahkan kami), nescaya engkau akan diusir keluar!”"
[26.168] Nabi Lut berkata: “”Sesungguhnya aku dari orang-orang yang bencikan perbuatan kamu yang keji itu”".
[26.169] (Nabi Lut berdoa): “”Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku dan keluarga serta pengikut-pengikutku dari apa yang dilakukan oleh golongan (yang jahat) itu.”"
[26.170] Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya serta pengikut-pengikutnya – semuanya
[26.171] Kecuali seorang perempuan tua tertinggal dalam golongan yang kena azab itu.
[26.172] Kemudian Kami hancurkan yang lain (yang menentang Nabi Lut).
[26.173] Dan Kami hujani mereka dengan hujan (azab yang membinasakan); maka amatlah buruknya hujan azab yang menimpa kaum yang telah diberi amaran.
[26.174] Sesungguhnya peristiwa yang demikian, mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah); dan dalam pada itu, kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman.
[26.175] Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dia lah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.
[26.176] (Demikian juga) penduduk “”Aikah”" telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepada mereka).
[26.177] Ketika Nabi Syuaib berkata kepada mereka: “”Hendaknya kamu mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya.
[26.178] “”Sesungguhnya aku ini Rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu.
[26.179] “”Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku.
[26.180] “”Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku); balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam.
[26.181] “”Hendaklah kamu menyempurnakan sukatan cupak-gantang, dan janganlah kamu menjadi golongan yang merugikan orang lain.
[26.182] “”Dan timbanglah dengan neraca yang betul timbangannya.
[26.183] “”Dan janganlah kamu mengurangi hak-hak orang ramai, dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di bumi.
[26.184] “”Dan (sebaliknya) berbaktilah kepada Allah yang telah menciptakan kamu dan umat-umat yang telah lalu”".
[26.185] Mereka menjawab: “”Sesungguhnya engkau ini (hai Syuaib) hanyalah salah seorang dari golongan yang kena sihir.
[26.186] “”Dan engkau hanyalah seorang manusia seperti kami; dan sesungguhnya kami fikir engkau ini dari orang-orang yang dusta.
[26.187] Oleh itu, gugurkanlah atas kami ketul-ketul (yang membinasakan) dari langit, jika betul engkau dari orang-orang yang benar!”"
[26.188] Nabi Syuaib berkata: “”Tuhanku lebih mengetahui akan apa yang kamu lakukan”".
[26.189] Maka mereka tetap juga mendustakannya, lalu mereka ditimpa azab seksa hari awan mendung; sesungguhnya kejadian itu adalah merupakan azab seksa hari yang amat besar – (huru-haranya).
[26.190] Sesungguhnya peristiwa yang demikian, mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah); dan dalam pada itu, kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman.
[26.191] Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dia lah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.
[26.192] Dan sesungguhnya Al-Quran (yang di antara isinya kisah-kisah yang tersebut) adalah diturunkan oleh Allah Tuhan sekalian alam.
[26.193] Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah.
[26.194] Ke dalam hatimu, supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi seorang dari pemberi-pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia).
[26.195] (Ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata.
[26.196] Dan sesungguhnya Al-Quran (tersebut juga perihalnya dan sebahagian dari pengajaran-pengajarannya) di dalam Kitab-kitab ugama orang-orang yang telah lalu.
[26.197] (Tidakkah mereka yang musyrik sedarkan kebenaran itu) dan tidakkah menjadi satu keterangan kepada mereka bahawa pendita-pendita ugama Bani lsrail mengetahui akan kebenaran Al-Quran itu?
[26.198] Dan sekiranya Kami turunkan Al-Quran kepada setengah orang yang bukan Arab, yang tidak tahu membaca Arab,
[26.199] Kemudian ia (dikurniakan Tuhan dapat) membacakannya kepada mereka, mereka tetap juga tidak mahu percayakan bacaan itu daripada Tuhan.
[26.200] Demikianlah Kami masukkan perasaan (kufur ingkar) itu ke dalam hati orang-orang yang melakukan dosa – tidak percayakan Al-Quran.
[26.201] Mereka tidak beriman kepada Al-Quran sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya,
[26.202] Lalu azab itu datang menimpa mereka secara mengejut, dengan tidak mereka menyedarinya.
[26.203] Maka (pada saat itu) mereka akan berkata (dengan menyesal): “”Dapatkah kiranya kami diberi tempoh?”"
[26.204] (Kalaulah demikian keadaan mereka) maka patutkah mereka meminta disegerakan azab Kami?
[26.205] Bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad)? Jika Kami berikan mereka menikmati kesenangan bertahun-tahun,
[26.206] Kemudian mereka didatangi azab seksa yang dijanjikan kepada mereka,
[26.207] (Tentulah) kesenangan yang mereka nikmati bertahun-tahun itu tidak dapat memberikan mereka sebarang pertolongan.
[26.208] Dan tiadalah Kami membinasakan mana-mana negeri (yang telah dibinasakan itu), melainkan setelah diutus kepadanya lebih dahulu, Rasul-rasul pemberi amaran.
[26.209] Memperingatkan mereka; dan Kami tidak sekali-kali berlaku zalim.
[26.210] Dan Al-Quran itu pula tidak sekali-kali dibawa turun oleh Syaitan-syaitan.
[26.211] Dan tidak layak bagi Syaitan-syaitan itu berbuat demikian, dan mereka juga tidak akan dapat melakukannya.
[26.212] Sesungguhnya mereka dihalang sama sekali daripada mendengar wahyu yang dibawa oleh Malaikat.
[26.213] Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah, akibatnya engkau akan menjadi dari golongan yang dikenakan azab seksa.
[26.214] Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.
[26.215] Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman.
[26.216] Kemudian jika mereka berlaku ingkar kepadamu, maka katakanlah: “”Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu lakukan!”"
[26.217] Dan berserahlah kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani,
[26.218] Yang melihatmu semasa engkau berdiri (mengerjakan sembahyang),
[26.219] Dan (melihat) gerak-gerimu di antara orang-orang yang sujud.
[26.220] Sesungguhnya Dia lah jua yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[26.221] Mahukah, Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah Syaitan-syaitan itu selalu turun?
[26.222] Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa,
[26.223] Yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh Syaitan-syaitan itu), sedang kebanyakan beritanya adalah dusta.
[26.224] Dan Ahli-ahli syair itu, diturut oleh golongan yang sesat – tidak berketentuan hala.
[26.225] Tidakkah engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau dengan tidak berketentuan hala dalam tiap-tiap lembah (khayal dan angan-angan kosong)?
[26.226] Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak melakukannya?
[26.227] Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh (dari kalangan penyair-penyair itu), dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri sesudah mereka dianiaya. Dan (ingatlah), orang-orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali.”