“[84.1] Apabila langit terbelah,
[84.2] Serta mematuhi perintah Tuhannya, dan sudah semestinya ia patuh;
[84.3] Dan apabila bumi diratakan,
[84.4] Serta mengeluarkan apa yang di dalamnya, dan menjadi kosong,
[84.5] Serta mematuhi perintah Tuhannya, dan sudah semestinya ia patuh; – (Maka pada saat itu tiap-tiap seorang akan mengetahui apa yang telah dilakukannya).
[84.6] Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatit semuanya).
[84.7] Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya, –
[84.8] Maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan,
[84.9] Dan ia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita.
[84.10] Dan sesiapa yang diberi menerima surat amalnya (dengan tangan kiri), dari sebelah belakangnya,
[84.11] Maka ia akan meraung menyebut-nyebut kebinasaannya,
[84.12] Dan ia akan menderita bakaran neraka yang marak menjulang.
[84.13] Sebenarnya ia semasa di dunia dahulu bersukaria dalam kalangan keluarganya (yang juga kufur ingkar)!
[84.14] Sesungguhnya ia menyangka bahawa ia tidak sekali-kali akan kembali (kepada Kami untuk menerima balasan) !
[84.15] (Sangkaannya itu tidak betul) bahkan ia tetap kembali! Sesungguhnya Tuhannya sentiasa Melihat dan Mengetahui keadaannya!
[84.16] Maka Aku bersumpah, demi mega;
[84.17] Dan malam serta segala yang dihimpunkannya;
[84.18] Dan bulan apabila (penuh cahayanya) menjadi purnama:
[84.19] Sesungguhnya kamu tetap melalui beberapa keadaan yang bertingkat-tingkat baik buruknya, (sebelum kamu menemui Tuhan – menerima kesenangan dan kebahagiaan atau sebaliknya)
[84.20] Maka apakah alasan bagi mereka bersikap tidak mahu beriman?
[84.21] Dan (apakah pula alasannya) apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka tidak mahu taat dan sujud?
[84.22] (Tidak ada satu alasan pun) bahkan orang-orang yang kafir, semata-mata mendustakannya;
[84.23] Sedang Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan dalam hati.
[84.24] Maka khabarkanlah kepada mereka dengan azab yang tidak terperi sakitnya;
[84.25] Tetapi orang-orang yang beriman dan beramal soleh mereka beroleh pahala balasan yang tidak putus-putus.”
Leave a comment