“[90.1] Aku bersumpah dengan negeri (Makkah) ini;
[90.2] Sedang engkau (wahai Muhammad) tinggal di negeri ini (sentiasa ditindas),
[90.3] Demi manusia yang melahirkan zuriat, dan zuriat yang dilahirkannya;
[90.4] Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya);
[90.5] Patutkah manusia yang demikian keadaannya (terpedaya dengan kekuasaan yang ada padanya dan) menyangka bahawa tidak ada sesiapapun yang dapat mengatasi kekuasaannya (dan menyeksakannya)?
[90.6] Manusia yang demikian keadaannya (tidaklah patut ia bermegah-megah dengan kekayaannya dan) berkata: “”Aku telah habiskan harta benda yang banyak (dalam usaha menegakkan nama dan bangsa).
[90.7] Adakah ia menyangka bahawa tidak ada sesiapapun yang melihatnya (dan mengetahui tujuannya menghabiskan harta bendanya itu?
[90.8] (Mengapa manusia terpedaya dan bermegah-megah?) Tidakkah Kami telah menjadikan baginya: dua mata (untuk ia memerhatikan kekuasaan dan kekayaan Kami?) –
[90.9] Dan lidah serta dua bibir (untuk ia menyempurnakan sebahagian besar dari hajat-hajatnya)?
[90.10] Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)?
[90.11] Dalam pada itu manusia tidak (memilih jalan kebaikan) merempuh masuk mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan;
[90.12] Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: apa dia amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu?
[90.13] (Di antara amal-amal itu – bagi orang yang mampu) ialah: memerdekakan hamba abdi;
[90.14] Atau memberi makan pada hari kelaparan –
[90.15] Kepada anak yatim dari kaum kerabat,
[90.16] Atau kepada orang miskin yang terlantar di atas tanah.
[90.17] Selain dari (tidak mengerjakan amal-amal) itu, ia (tidak pula) menjadi dari orang-orang yang beriman dan berpesan-pesan dengan sabar serta berpesan-pesan dengan kasih sayang.
[90.18] (Ketahuilah! Bahawa orang-orang yang beriman serta berusaha mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan), merekalah golongan pihak kanan (yang akan beroleh Syurga).
[90.19] Dan (sebaliknya) orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah golongan pihak kiri. –
[90.20] Mereka ditimpakan (azab seksa) neraka yang ditutup rapat (supaya kuat bakarannya).”
Leave a comment